Advertisement
Advertisement
Tomok Anggap Penyingkiran Qalisya Bermaruah
April 4, 2017
Wings & Superfriends Belenggu Irama Super Hebat!
April 9, 2017

Mentor Milenia: Qalisya Tak Puas Hati

Penyingkiran protege kepada Tomok iaitu Qalisya pada konsert minggu keenam Ahad lalu ternyata mengejutkan peminatnya lebih-lebih lagi peserta kelahiran Kinarut Papar, Sabah itu baru sahaja memegang gelaran Juara Mingguan pada minggu sebelumnya.

Qalisya atau nama sebenarnya Nur Qalisya Syazreena Zainuddin, 17, bagaimanapun menafikan dirinya membuat persembahan sambil lewa kerana sudah merasakan dirinya selesa dengan gelaran yang diberi pada minggu lepas.

“Bukan sebab saya bergelar juara minggu lepas membuatkan saya play safe dengan persembahan pada minggu ini. Sebenarnya lagu yang saya bawa minggu ini agak mencabar, jadi saya tidak dapat menampung untuk membawa lagu ini,” tutur Qalisya kepada Tonton Extra.

Sewaktu ditemui selepas konsert di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada Ahad, Qalisya turut memberitahu tidak berpuas hati dengan persembahannya pada malam itu dan mengakui telah mengecewakan mentornya.

“Sebenarnya saya tidak berpuas hati dengan persembahan pada minggu ini. Tapi apa yang boleh saya katakan lagi, saya sudah tersingkir. Saya hanya berserah. Mungkin bukan rezeki saya di sini dan mungkin InsyaAllah rezeki saya di luar sana nanti.

“Apapun, sudah semestinya saya berasa ralat kerana telah mengecewakan abang Tomok. Ini kerana harapan dia kepada kami sangat tinggi. Saya ingin meminta maaf kepada abang Tomok kerana tidak melakukan yang terbaik,” ujarnya sedih apabila tersingkir.

“Saya turut berasa sedih sebab kena berpisah dengan kawan-kawan yang sudah saya anggap seperti keluarga. Saya harap rakan-rakan yang masih berada di pentas Mentor Milenia akan terus melakukan yang terbaik. Hargailah masa kalian sepanjang berada di dalam program ini dan jangan jadi seperti saya, menyesal akhirnya,” katanya sambil mengakui saingan paling kuat dalam program tersebut adalah Elica dan Usop.

Sebelum mengakhiri bicara, Qalisya turut berkongsi perancangannya selepas ini iaitu mahu membuat album dan menyambung pelajaran dalam bidang muzik.

How do you feel?
  • Fascinated
  • Happy
  • Sad
  • Angry
  • Bored
  • Afraid