Advertisement
Advertisement
Jason Dy Kagum Dengan Suara Fazura
May 8, 2017
Datuk Siti Nurhaliza Cipta Lagu Buat Peminat
May 9, 2017

Mentor Milenia : Akim Terpaksa Lepaskan Elica

By : Nani Ramlee

Pentas akhir Mentor Milenia 2017 yang berlangsung pada Ahad menyaksikan peserta dari Sabah, Elica dinobatkan selaku juara sekaligus membolot hadiah wang tunai RM100,000, trofi, telefon bimbit Neffos X1 Max dan pakej percutian ke London.

Dengan kemenangan tersebut, Elica juga kini secara rasmi menjadi artis di bawah pengurusan 8 Unit dan Monkey Bone. Menurut mentor Elica, Akim Ahmad, biarpun tidak lagi bersama protegenya, namun dia tetap akan terus memantau kerjaya seni Elica dari jauh selepas ini.

“Selepas 13 minggu mendidik Elica, kini saya terpaksa lepaskan dia. Namun, ini bukan bermaksud saya akan lepas tangan kerana saya juga masih akan memberi tunjuk ajar serta memantau kerjaya seninya nanti,” ujar Akim sewaktu ditemui pada sidang media yang diadakan sejurus selesai konsert.

“Tapi, kalau boleh sebagai permulaan, biarlah saya buat dulu single untuk Elica. Saya mahu dia menyanyi lagu saya dahulu. Selepas itu, terpulanglah kepada 8 Unit kalau dia nak panggil orang lain untuk buat lagu kepada Elica. Sebagai mentor, saya harap dia dapat bekerja dengan baik dan mesra dengan orang di luar sana selepas ini.”

Bagi Elica pula, dia mengakui berasa sedih kerana terpaksa ‘berpisah’ dengan Akim, namun memberitahu akan sentiasa merindui perjalanannya dengan Akim sepanjang berada di pentas Mentor Milenia 2017.

Elicaperformance

Elica berjaya memikat hati juri profesional dan juri awam pada malam kemuncak Mentor Milenia pada Ahad.

“Saya pasti semua protege akan rasa sedih sebab selepas ini kami akan bergerak sendiri. Namun, perjalanan harus diteruskan dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada abang Akim yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya selama ini,” tuturnya sambil memberitahu sudah bersedia untuk mencipta nama dalam industri hiburan tempatan.

“Saya memang sudah bersedia untuk berada dalam industri. Sekarang ini terlalu ramai artis dalam industri, jadi saya kena pandai membawa diri dan bekerja keras untuk terus kekal dalam industri. Saya juga akan promo single tidak lama lagi,” katanya yang masih terkejut apabila namanya diumumkan sebagai juara.

“Saya memang tak sangka sebab semua finalis sangat bagus dan saingan memang ketat. Biarpun saya batuk dan demam, namun saya memang berpuas hati dengan persembahan saya. Saya gembira jadi juara dan bersyukur dengan rezeki yang diperoleh. Ini adalah satu platform untuk saya melangkah lebih jauh lagi.

“Duit kemenangan itu saya akan bahagikan sama rata dengan mentor manakala bakinya saya akan simpan untuk masa depan. Saya juga mahu membalas jasa keluarga dengan membantu mereka dari segi kewangan,” ujarnya lagi.

Menyesal Tangguh Pelajaran

Dalam pada itu, penyanyi berusia 18 tahun itu turut mengakui buat masa ini dia memilih untuk berulang alik dari Sabah ke Kuala Lumpur jika ada sebarang tawaran persembahan. Gadis yang meminati penyanyi Jaclyn Victor dan Beyonce ini turut berkongsi akan terlibat dengan Konsert Mentor Milenia 2 di Pentas Karnival WOW pada Rabu ini, jam 8.30 malam di Perkarangan Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil.

Sebelum mengakhiri perbualan, anak sulung daripada empat orang adik beradik ini juga sempat meluahkan rasa ralat kerana terpaksa menangguhkan pelajarannya kerana mahu memberi tumpuan terhadap karier seninya yang baru sahaja bermula.

“Saya memang ada perancangan untuk sambung belajar. Malah, awal April lalu saya ada menerima tawaran untuk sambung belajar dalam Diploma Muzik di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Tapi, memandangkan saya masih di Mentor Milenia, jadi saya terpaksa menolak.

“Memang rasa sayang dan menyesal kerana terpaksa menolak, tapi mungkin rezeki saya di sini. Buat masa sekarang saya mahu fokus dengan kerjaya saya dalam bidang nyanyian dulu dan mungkin tahun hadapan saya akan sambung belajar,” katanya.

Foto : Shareza Shafiee

Save

How do you feel?
  • Fascinated
  • Happy
  • Sad
  • Angry
  • Bored
  • Afraid