Advertisement
Advertisement
Cef Fikree Takut Berlakon
June 14, 2017
Anis Al-Idrus Tak Sahur Kerana Migrain
June 15, 2017

Elfira Loy Curi-Curi Buka Puasa

By : Nani Ramlee

Setiap individu pasti mempunyai kenangan tersendiri ketika bulan Ramadan. Bagi pelakon Elfira Loy, nostalgia Ramadan yang paling sukar dilupakan adalah apabila dia curi-curi berbuka puasa ketika zaman kanak-kanak.

“Ketika zaman kanak-kanak dulu, saya yang paling nakal. Apa sahaja cerita pasal curi-curi buka puasa, semua saya dah buat. Makan dalam bilik air, belakang pintu dan sebagainya, semua saya pernah buat,” kongsi gadis berusia 23 tahun ini.

“Saya ingat lagi, kedua ibu bapa saya akan suruh saya makan di lantai dan tidak boleh pergi ke bazar jika tidak berpuasa. Jadi, nak tak nak, saya akan berpuasa sebab nak makan bersama-sama di meja. Dulu, sudah pasti saya menyesal buat semua benda tu sampai kena pukul kalau tak berpuasa.

Namun bagi saya, semua perkara itu merupakan nostalgia manis untuk kita semua ingat,” kata pelakon Dalam Hati Ada Taman ini yang gemar ke Bazar Ramadan untuk membeli juadah makanan terutamanya kuih Melayu.

Berkongsi mengenai sambutan Ramadan pada tahun ini, pemilik nama Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri ini mengakui Ramadan kali ini lebih meriah kerana dia sudah memiliki kafe sendiri, Love Me Seven Days di Wisma Alam Damai, Cheras.

“Ramadan ini lebih meriah sebab sekarang saya dah ada kafe sendiri. Jadi, kami sekeluarga akan berada di sana dan cuba masak pelbagai jenis menu baru,” kata duta bagi kempen Terima Kasih ini.
Ketika ditemui pada majlis sidang media program Ramadan TV3 & TV9 2017, Elfira turut berkongsi penglibatannya dalam program Ramadan 101 yang disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat jam 7.00 malam di TV9.

“Saya mengacarakan program ini bersama Ustaz Elyas Ismail. Tidak dinafikan, mula-mula takut tersalah bagi informasi, tapi bila dah bersama Ustaz, dia banyak membantu. Kami banyak berbincang kerana dia mahu saya betul-betul faham apa yang saya sampaikan.

Memang agak berat dan susah kerana saya perlu buat rujukan tentang sejarah Islam. Program ini mencabar kerana faktor masa yang terhad. Satu hari kami perlu shoot lima episod dan kami ada sejam sahaja untuk buat rujukan sebelum memulakan rakaman.

Bagi saya, ini adalah pengacaraan yang paling susah pernah saya lakukan. Namun, saya gembira kerana saya berjaya buat 20 episod itu dengan baik. Ini pengalaman baru dan saya suka buat benda ini. Ia satu perkara yang tak rugi untuk dibuat. Bila saya berjaya sampaikan, saya memang puas sangat,” katanya mengakhiri bicara.

How do you feel?
  • Fascinated
  • Happy
  • Sad
  • Angry
  • Bored
  • Afraid