Advertisement
Advertisement
Meriahkan Aidilfitri Dengan Program-Program Menarik Di TV3
June 24, 2017
Syazuwan Hassan Jemput Peminat Beraya
June 27, 2017

Elfira Loy Nafi Tinggalkan Kerjaya Lakonan

By : Nani Ramlee

Pelakon Elfira Loy menafikan dirinya sudah meninggalkan kerjaya sebagai pelakon selepas sudah lama tidak muncul dalam mana-mana drama atau telefilem di kaca televisyen. Walau bagaimanapun, menurut gadis berusia 23 tahun ini, dia masih lagi menerima tawaran lakonan, namun mengakui bidang lakonan bukan lagi keutamaannya buat masa sekarang.

“Orang tanya, saya tak nak berlakon dah ke. Sebenarnya bukan tak nak, tapi banyak kerja lain saya kejar dulu buat masa ini. Saya tak rasa rugi sebab saya dah buat benda ini agak lama. Walaupun masih muda, tapi saya dah 11 tahun dalam industri.

Apapun, saya memang tak tinggalkan dunia lakonan. Memang ada tawaran berlakon, malah saya rindu nak berlakon. Tapi, saya tahu saya tak boleh nak buat. Ini kerana keutamaan saya sekarang bukan lagi dalam bidang lakonan,” jelasnya yang sudah dua tahun tidak berlakon.

Ditanya sama ada penampilannya yang sudah berhijab merupakan faktor dia tidak lagi mahu berlakon, pelakon drama Dalam Hati Ada Taman ini menepis perkara tersebut.

“Bukan sebab saya dah bertudung dan perkara itu tak menjadi masalah pun. Malah, saya ada shoot satu telefilem untuk tayangan selepas raya nanti. Tapi sejujurnya, memang agak penat dan saya tak enjoy proses lakonan itu.

Jadi saya fikir, buat apa saya berlakon lagi. Walau bagaimanapun, jika ada tawaran yang betul-betul saya nak, saya akan terima,” ujarnya yang kini selesa dengan bidang pengacaraan serta perniagaan kafe dan fesyen yang diceburi.

How do you feel?
  • Fascinated
  • Happy
  • Sad
  • Angry
  • Bored
  • Afraid