Advertisement
Advertisement
Wany Hasrita Tolak Tawaran Watak Heroin Drama
July 7, 2017
Anas Ridzuan Diganggu Jin
July 10, 2017

Mawar Rashid Kini Tunangan Adik Dato’ Fazley

Pelakon drama Suamiku Paling Sweet, Mawar Rashid, 22, telah melangsungkan pertunangan dengan Raden Ahmad Faizal Datuk Yaakob atau lebih dikenali sebagai Raf Yaakob pada 7 Julai lalu. Majlis yang diadakan di Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara itu berlangsung serentak dengan Jamuan Santai Aidilfitri SukaSucre Creatives.

Terdahulu, Raf, 32, yang merupakan adik kepada penyanyi dan cef selebriti, Dato’ Fazley itu telah menghantar rombongan merisik pada 7 Mei lalu sebelum Raf berlepas ke London untuk bermain bola di Old Trafford di bawah Kelab Peminat Manchester United selaku Presiden My Man Malaysia.

Tarikh 7 Julai dipilih sebagai tarikh pertunangan kerana memperingati tarikh ulang tahun kelahiran arwah bapa Raf, Datuk Yaakob Mohammad.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah ibu Raf, Datin Umi Kalsom Abd. Latib, isteri Fazley, Datin Azrene Ahmad dan ibu Mawar, Datin Marinee Abdullah.

Mawar yang mula dikenali menerusi pertandingan Dewi Remaja 2014/15 itu kelihatan anggun menyarung persalinan rekaan Cosry pada majlis petang itu. Majlis tersebut dihadiri sekitar 100 tetamu yang terdiri daripada keluarga terdekat dan rakan-rakan kedua belah pihak.

Menceritakan detik perkenalan mereka, Mawar atau nama sebenarnya, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid itu menjelaskan, dia dan Raf diperkenalkan oleh pelakon, Emma Maembong pada Januari lalu.

“Saya mengenali Raf di sebuah restauran yang turut ditemani oleh Emma dan rakan lain. Ketika itu, Emma menyuarakan hasrat untuk menemukan kami kerana Raf sudah dianggap seperti abang angkat olehnya. Manakala Mawar, Emma dan adik-beradik Emma juga sebenarnya adalah kawan rapat sejak di bangku sekolah sehingga sekarang. Justeru, keakraban kami seperti adik beradik berlainan ibu bapa.”

“Sejujurnya, saya tidak pernah percaya dengan istilah jatuh cinta pada pandangan pertama. Hakikatnya, saya ternyata salah. Kali pertama bertemu Raf, dia berjaya menambat hati saya sehingga hati menjadi berdebar tidak seperti kebiasaan. Saya dapat merasakan aura unik dalam diri Raf. Barangkali, ini disebabkan cara pembawaan dirinya yang agak berbeza berbanding orang lain,” akui Mawar.

Bercerita lanjut mengenai tunangnya, Mawar memberitahu, Raf merupakan seorang lelaki yang sangat penyayang, bertanggungjawab, berkarisma tinggi, berpendidikan, rendah diri, sopan tutur kata, menyukai keluarga dan boleh membimbingnya di dunia dan akhirat.

“Saya berasa kagum dengan pengetahuan agama Raf apatah lagi selepas melihat dia dan abangnya (Fazley) membaca talkin berdua ketika arwah bapa mereka meninggal dunia.”

Memasuki usia enam bulan perkenalan, Raf yang juga merupakan usahawan, pelakon, hos televisyen dan model itu melamar Mawar dalam suasana romantis dengan masing-masing memuatnaik gambar sama di laman Instagram mereka.

“Memang sudah lama saya ingin melamar seseorang dengan cara sebegitu (kelopak bunga ros merah bersama lilin yang tertulis ayat, Will U Marry Me?). Sejak kecil lagi, saya terbiasa menonton filem-filem yang melamar wanita dengan cara romantis. Dan ini kali pertama saya melamar seseorang (Mawar) dengan cara tersebut,” jelas Raf.

Majlis pernikahan dan persandingan pasangan dijangka akan berlangsung pada hujung tahun ini. Namun tarikh perkahwinan masih belum ditetapkan kerana masih dalam peringkat perbincangan.

How do you feel?
  • Fascinated
  • Happy
  • Sad
  • Angry
  • Bored
  • Afraid