Advertisement
Advertisement
Afifah Nasir Tahu Aliff Aziz Menyukainya
August 7, 2017
Corat- Coret Resepsi Ummi Nazeera & Dr. Izzar
August 8, 2017

Ummi Nazeera Tak Pernah Terfikir Nikahi Doktor

By : Nani Ramlee

Tidak pernah terlintas di fikiran pelakon, Ummi Nazeera untuk menerima seorang doktor sebagai suaminya. Diijabkabulkan dalam sebuah majlis yang cukup indah pada 23 Julai lalu, Ummi kini bahagia bergelar isteri kepada Dr. Mohd. Izzar Anwari Dato’ Sri Abdul Khani, 30.

“Alhamdulillah, saya sudah menjadi isteri orang sekarang. Saya sangat gembira menerima Dr. Izzar menjadi suami saya,” tutur Ummi sewaktu ditemui di majlis resepsinya di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur pada Sabtu.

“Saya tak pernah terdetik akan berkahwin dengan seorang doktor. Tapi Mama saya memang mahu saya mengahwini doktor. Dia rasa tugas sebagai doktor sangat mulia. Kali pertama Mama jumpa Dr. Izzar, terus dia suka. Secara automatik, saya sebagai anak pun jadi suka. Tidak dinafikan, cinta kami mula berputik selepas bertunang,” ujar pelakon Nahu Rindu ini yang tampil menawan dalam persalinan hijau rekaan Fizi Woo.

Ditanya apa keistimewaan Dr. Izzar sehingga membuatkan dia jatuh cinta dengan suaminya, pemilik nama Nazeera Nur Hidayah Datuk Zainulabadin ini memberitahu suaminya itu seorang yang sangat tenang.

“Alhamdulillah, kalau saya buat perangai, dia pandai jaga saya. Biasalah perempuan ada mood tak menentu. Dia handle saya dengan baik sekali dan banyak menenangkan saya. Bagi saya, dia seorang yang sangat tenang,” tutur Ummi sambil tersenyum.

Sementara itu, Dr. Izzar turut berkongsi yang dia mula mengetahui isterinya seorang pelakon selepas menonton drama popular lakonan Ummi berjudul Nur Kasih.

“Saya tahu dia pelakon selepas menonton drama Nur Kasih menerusi streaming. Sewaktu itu saya belajar di Ireland. Saya suka tengok watak yang dibawanya sebagai perempuan kampung di mana wajahnya sangat kemelayuan. Dulu dia comot, tapi sekarang dia cantik,” ujar Dr. Izzar sambil memberitahu tidak menghalang isterinya untuk aktif berlakon.

Dalam pada itu, Dr. Izzar yang bertugas di Sarawak turut memberitahu permohonannya untuk bertugas di Semenanjung sudah pun mendapat kelulusan.

“InsyaAllah, pada bulan September ini saya akan bertukar ke Kementerian Kesihatan Malaysia di Kuala Lumpur. Buat masa ini saya akan berulang-alik lagi,” kongsinya yang turut berkongsi tentang pandangannya terhadap Ummi.

“Saya suka dengan senyuman Ummi. Apa yang penting, dia pandai membawa diri sebagai seorang wanita. Apa sahaja keputusan dia akan berbincang bersama keluarganya. Kami memenuhi antara satu sama lain dan saya rasa tenang apabila bersamanya,” ujar Dr. Izzar sambil berharap rumahtangga yang dibina direstui keluarga serta kekal selamanya.

Sebelum mengakhiri perbualan, pasangan sama cantik sama padan ini turut memberitahu tidak merancang soal cahaya mata dan menyerahkan perkara tersebut kepada Allah. Pasangan ini juga berkongsi bakal berbulan madu di Sabah selepas selesai majlis resepsi di sebelah pihak lelaki.

“Kita tak merancang soal anak, jika ada rezeki, Alhamdulillah. Saya nak tiga orang dan Ummi nak empat. Tentang bulan madu, kami akan ke Sabah dulu untuk menyambut hari jadi kami bersama iaitu saya pada 13 Ogos dan Ummi pada 20 Ogos. Kami juga merancang untuk ke Switzerland kerana saya sangat sukakan alam semulajadi,” kongsi Dr. Izzar.

Foto : Farid Mad Noh

How do you feel?
  • Fascinated
  • Happy
  • Sad
  • Angry
  • Bored
  • Afraid