Advertisement
Advertisement
Remy Ishak Mengaku Jumpa Pakar Psikiatri
August 18, 2017
Clever Girl 2017: OMGT Fitness
August 18, 2017

Caliph Buskers Takut Dengan Faizal Tahir

By : Nani Ramlee

Vokalis kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat akui takut apabila bekerjasama dengan penyanyi serta komposer terkenal, Faizal Tahir menerusi single duet terbaru mereka berjudul Buta.

“Saya sangat meminati lagu Faizal Tahir terutamanya lagu Sejati. Saya memang tak sangka Caliph Buskers akan ada rezeki untuk berduet bersama Faizal. Dia merupakan satu nama yang besar dalam industri muzik tanah air.

Sebelum berjumpa dengannya, kami memang takut. Tapi, Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan kami memang seronok dapat bekerja dengannya. Kami juga berharap akan ada projek seterusnya dengan Faizal Tahir,” tutur Azmi sewaktu ditemui pada majlis pelancaran lagu Buta di Talent Lounge, Damansara Perdana pada Rabu.

Buta merupakan hasil ciptaan Faizal bersama dua rakan komposer lain iaitu Mike Chan dan Ezra Kong. Berkongsi mengenai proses pembikinan lagu Buta terbitan Warner Music Malaysia itu, Azmi akui pada mulanya agak sukar untuk dia membawakan lagu tersebut.

“Biasanya saya menyanyi lagu jiwang tapi bila dapat lagu ini, ia agak berbeza. Sebelum ini saya dah biasa dengan lenggok Melayu, jadi bila bawa lagu ini, agak mencabar juga,” ujar Azmi akui hampir menangis sewaktu pertama kali mendengar lagu tersebut.

“Terus-terang bila dengar lagu ini, saya rasa nak menangis. Lirik lagu ini seperti luahan daripada hati saya sendiri. Apabila saya dengar saja lagu Buta, saya terus jatuh cinta dengan liriknya. Pada saya lirik ia hebat dan saya suka lirik lagu ini,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, Azmi juga meluahkan kerisauannya dengan tajuk lagu yang dipilih.

“Tajuk ini tidak terlalu sensitif tapi tidak dinafikan kami sedikit risau. Pada kami tajuk itu satu perkataan yang biasa. Ini kerana kami selalu bercampur dengan ramai orang dan kami sudah terbuka mengenai perkara ini.

Namun, kebanyakan kawan-kawan lain yang jarang bercampur mungkin akan terasa, jadi kami agak risau. Tapi, buta yang ingin disampaikan dalam lagu ini adalah buta hati. Bukan buta nak menghina, tapi lebih kepada untuk mengajak orang supaya lebih bersyukur. Saya harap semua orang dapat menerima mesej positif lagu ini,” katanya mengakhiri perbualan.

Sementara itu, komposer Mike Chan yang mewakili Faizal Tahir yang tidak dapat hadir ke majlis tersebut turut memberitahu berasa teruja dapat bekerjasama dengan Caliph Buskers.

“Mereka ada passion dengan muzik. Dari konsep, lagu dan lirik, kami sama-sama contribute idea untuk hasilkan lagu ini. Kalau anda tanya saya, ini merupakan proses rakaman paling terbaik setakat tahun ini. Mereka memang profesional dan sangat bagus,” ujarnya optimis.

How do you feel?
  • Fascinated
  • Happy
  • Sad
  • Angry
  • Bored
  • Afraid