Advertisement
Advertisement
Marsha Milan Londoh: Mentua Tak Desak Soal Anak
August 24, 2017
Erma Fatima Bawa Mak Cun Ke New York
August 25, 2017

Raysha Rizrose Jauhi Suami Orang

By: Nani Ramlee

Pelakon baru, Raysha Rizrose akui kontroversi yang melanda pelakon Afifah Nasir dan Aliff Aziz pada Julai lalu sedikit sebanyak memberi pengajaran buat dirinya supaya lebih berhati-hati dari segi pergaulan.

“Saya tak nak sentuh tentang isu yang berlaku tapi saya mahu bercakap sebagai seorang wanita. Sebagai wanita, boleh ke kita tengok suami kita buat begitu dengan perempuan lain? Saya harap wanita di Malaysia lebih buka mata dalam perkara ini.

Kita ada otak serta boleh fikir yang mana baik dan mana buruk. Saya nak wanita di sana jagalah maruah diri dan jauhilah suami orang. Apapun, saya rasa kesian dengan Bella lebih-lebih lagi dia baru melahirkan anak,” ujar pemenang Dewi Remaja 2015 ini kepada Tonton Extra.

Raysha elak untuk bersama suami orang

Ketika ditemui, pemilik nama Farza Naquraisha binti Mohd Fariz ini turut berkata, seseorang pelakon itu tidak perlu ‘berdating’ di luar lokasi semata-mata mahu mencipta keserasian bersama pasangan mereka dalam sesebuah naskhah.

“Bagi saya, tak perlu langsung untuk keluar bersama hanya kerana mahu mendapat keserasian. Pada saya, keserasian boleh dibina ketika berada di set dengan banyak berkomunikasi dengan gandingan kita.

“Saya selalu dengan Idris di set dan kami tak terfikir pun nak keluar bersama. Apapun, kontroversi yang berlaku memberi pengajaran buat saya juga,” kata pelakon berusia 21 tahun ini sewaktu ditemui pada siri Jelajah Bas Drama Sangat 2017 edisi zon selatan.

Sementara itu, pelakon drama Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin (PTRNTD) ini akui bersyukur apabila drama lakonannya di slot Akasia TV3 itu sentiasa menjadi trending nombor satu di laman sosial setiap kali bersiaran jam 7 malam.

Raysha bergandingan bersama Idris Khan dan Azrel Ismail dalam drama Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin

“Sejujurnya saya tak sangka dengan sambutan baik untuk drama ini. Alhamdulillah, drama ini sentiasa menjadi trending nombor satu dan saya berasa teruja lebih-lebih lagi ini merupakan penampilan pertama saya di TV3,” ujarnya lagi.

Raysha turut berkongsi dia akan bercuti selama sebulan selepas drama ini kerana mahu berehat setelah penat bekerja selama tiga bulan lebih untuk drama arahan Nizam Zakaria itu.

“Saya akan bercuti selama sebulan sebab nak ambil masa untuk re-energize balik. Sebagai pelakon, bukan setakat penat badan saja, tapi penat dari segi emosi,” tuturnya sambil ditebak tidakkah dia berasa rugi apabila berehat terlalu lama dari penggambaran lakonan.

“Bagi saya jika fikir pasal rugi, memang rugi. Tapi, saya percaya semua pelakon kena ambil masa sekurang-kurangnya satu minggu untuk rehat secukupnya. InsyaAllah selepas cuti, saya akan shoot untuk slot Zehra pula bersama Izzue Islam dan Saharul Ridzwan. Watak dan jalan cerita lebih kurang sama dengan PTRNTD, tapi naskhah ini lebih berat,” katanya yang teringin untuk membawa watak aksi dan psiko selepas ini.

Jangan ketinggalan untuk menonton episod akhir Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin jam 6.58 petang ini di slot Akasia TV3. Anda juga boleh menonton semua episod PTRNTD di www.tonton.com.my. Selain Raysha, drama ini turut dibintangi Azrel Ismail dan Idris Khan.

How do you feel?
  • Fascinated
  • Happy
  • Sad
  • Angry
  • Bored
  • Afraid