Advertisement
Advertisement
Zul Ariffin Kuat Cemburu?
September 11, 2017
Aizat Amdan Kembali Dengan Introduction
September 12, 2017

Marcell Terharu Murid Sekolah Tahu Hanya Memuji

By: Faris Othman

Penyanyi yang dulu pernah sinonim dengan imej berambut afro, Marcell mengatakan rasa terharunya apabila lagu duetnya bersama Shanty, Hanya Memuji, dikenali dan dihafal pelajar sekolah menengah ketika membuat persembahan di tanah kelahirannya.

“Lagu Hanya Memuji semacam berhantu kerana bisa dinyanyikan oleh golongan muda yang rata-ratanya memanggil saya Om atau pakcik bila berinteraksi. Bila ditanya di mana mereka pada tahun 2002 ketika lagu itu dikeluarkan, ada yang masih kecil atau tidak dilahirkan lagi.

“Saya sangat berterima kasih kepada ibu bapa mereka yang memperdengarkan sekaligus memperkenal lagu saya kepada anak-anak mereka. Mereka seperti membesar dengan lagu saya,” tuturnya yang ditemui di The Bee, Publika pada Khamis.

Dalam perkembangan lain, Marcell turut teruja menantikan konsert solonya, Once In A Lifetime yang akan berlangsung di Dewan Plenari Kuala Lumpur Convention Centre pada 23 September ini.

Baginya Malaysia selalu ada tempat teristimewa di hatinya tanpa diketahui apa yang benar-benar membuat dirinya tertarik untuk terus kembali dan akhirnya berpentas dan menghiburkan khalayak peminat di sini.

“Kali pertama saya buat persembahan di Malaysia adalah ketika Anugerah Planet Muzik pada 2003 dan menyanyikan Hanya Memuji ketika itu.

“Selepas itu hidup saya berubah dan mula menjadi individu berbeza. Saya perlahan-lahan mengumpul peminat dari negara jiran, Singapura dan Malaysia sendiri.

“Saya pun tak tahu apa yang membuat saya seolah tertarik dengan negara ini. Mungkin orangnya, makanannya, muziknya atau persekitarannya? Saya sendiri pun tidak ada jawapan. Apa yang saya tahu, negara ini cukup istimewa sebab itulah jadi pilihan saya untuk konsert ini,” katanya.

Untuk memberi kelainan dan sedikit citarasa tempatan, Marcell akan turut menampilkan Noh Salleh sebagai penampilan khas dalam persembahan 2 jam setengah dan membariskan 40 judul lagu itu.

Meskipun ditebak dengan persoalan penyanyi tempatan lain yang mungkin akan berpadu vokal dengannya, penyanyi ini lebih selesa berahsia dan mahu memberi kejutan kepada peminatnya.

Tiket berharga RM99 hingga RM2099 boleh mula dibeli di  www.goersapp.com, airasiaredtix.com, kiostix.com dan tiket.com.

Foto: Shareza Shafiee

How do you feel?
  • Fascinated
  • Happy
  • Sad
  • Angry
  • Bored
  • Afraid