Advertisement
Advertisement
Kamal Adli Terasa Hati Dengan Jurey Latiff
September 15, 2017
Brandon Ho Daripada Pengacaraan Ke Lakonan
September 15, 2017

Marianne Tan Sedia Pikat Pasaran Melayu

By : Faris Othman

Pelakon Marianne Tan sedia menembusi pasaran Melayu untuk memikat khalayak besar peminat industri hiburan tanah air tanpa menjadikan perbezaan agama dan budaya sebagai penghalang.

Menurutnya, peluang yang diberikan di luar zon selesa pasti memberi ruang untuknya mencuba prospek baru. Bahkan, ia satu cubaan meluaskan pengaruh dalam kalangan peminat berbeza.

“Kalau ada skrip dan diberi bimbingan sebutan sebaiknya, tidak ada masalah untuk saya menerima tawaran lakonan filem berbahasa Melayu. Cuma kalau tanpa skrip, cacat sikitlah Bahasa Melayu saya.

“Sebab itulah bila ada tawaran diberi tidak kiralah bahasa apa dituturkan, Bahasa Melayu, Bahasa Cina atau Bahasa Inggeris, memang saya akan cuba juga untuk teroka cabaran dalam pasaran dan target berbeza berbanding sebelum ini,” ujarnya dalam bahasa kebangsaan yang fasih.

Terbaru, Marianne membintangi filem By MY Side yang menggandingkannya dengan Brandon Ho sebagai teraju utama dalam karya arahan Reuben Kang itu.

Marianne bersama gandingannya, Brandon Ho dalam filem By MY Side.

Bercerita mengenai cabaran dihadapi sepanjang penggambaran filem itu, pelakon ‘Ola Bola’ ini mengatakan menangani turun naik emosi adalah sesuatu yang agak sukar untuknya di permulaan. Namun lama-kelamaan dia berjaya mendapat rentak dan memahami teknik efisien melunaskan watak Faye.

“Di awal-awal berada di set adalah sesuatu yang sukar. Bayangkan siangnya kami ada majlis pelancaran, bergelak-ketawa dengan sesi temubual bersama media, berseronok, tapi pad sebelah malamnya perlu bersedih untuk menjayakan babak yang mengalirkan air mata.

“Semuanya seperti roller-coaster emosi. Turun naik yang tidak menentu dalam satu hari. keadaan ini berbeza dengan filem pertama saya dulu di mana setiap pelakon ada masa selama sebulan untuk ke kelas lakonan,” ujarnya lagi.

Marianne turut membuktikan kehadirannya dalam bidang lakonan tidak boleh dipandang sebelah mata kerana dia pernah dicalonkan sebagai Pelakon Baharu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia 28 pada tahun lalu. Dalam festival filem tahunan itu, dia terpaksa akur kepada Falisha Crosley yang menawan hati juri menerusi filem ‘Mat Moto’.

Filem kerjasama JinnyboyTV dan tonton itu akan menemui penonton di pawagam TGV pada 16 September ini bersempena dengan Hari Malaysia.

Foto : Shareza Shafiee

How do you feel?
  • Fascinated
  • Happy
  • Sad
  • Angry
  • Bored
  • Afraid