Advertisement
Advertisement
Datuk Fazley Pernah Jadi Pencuci Pinggan
September 27, 2017
Alyah Nafi Unsur Negatif Dalam Klip Video Lagu
September 27, 2017

Tiga Peserta Ke Pentas Akhir Da’i Pendakwah Nusantara

Pentas Separuh Akhir Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-5 yang bersiaran pada Ahad lalu menyaksikan Da’i Hakim, Da’i Fahmi, dan Da’i Afiqah mara ke Pentas Akhir Da’i yang akan berlangsung pada 1 Oktober 2017 hadapan.

Selain itu pentas separuh akhir itu juga menyaksikan penyingkiran Da’i Aiman daripada program reality itu kerana gagal menjawab soalan Imtihan di awal program itu.

Da’i Aiman merupakan salah seorang peserta harapan kerana mempunyai potensi dan karisma yang hebat, telah kecundang pada segmen soalan Imtihan apabila gagal meraih sebarang mata berbanding rakan-rakan seperjuangannya Da’i Hakim, Da’i Fahmi, dan Da’i Afiqah. Sungguhpun begitu, Aiman tetap memberikan tazkirah yang hebat apabila ditanya tentang ‘Perlukah waris membayar hutang puasa ibu bapanya yang telah meninggal dunia?’ oleh penonton. Segmen Imtihan merupakan sebuah segmen di mana para peserta diajukan empat soalan spontan oleh juri tetap yang membawa markah, 5 mata untuk setiap soalan.

Siaran Ahad lalu merupakan pusingan yang mendebarkan buat semua peserta kerana cara pemberian tajuk persembahan tidak seperti minggu-minggu sebelumnya. Dalam tempoh seminggu persiapan kesemua peserta ini, mereka hanya dibekalkan dengan tema mingguan iaitu “Rukun Islam”, tanpa mengetahui Rukun Islam yang manakah akan mereka persembahkan.

Oleh itu, mereka dikehendaki untuk mempelajari kelima-lima rukun Islam secara terperinci, dan hanya akan ketahui tajuk mereka berdasarkan soalan-soalan spontan daripada penonton. Selain itu, Pentas Separuh Akhir Da’I turut mengalu-alukan kehadiran Ustaz Isham Imail dari Brunei sebagai tetamu nusantara yang turut serta sebagai pengkritik persembahan setiap peserta.

Menurut Mursyid Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-5, Datuk Ustaz Kazim Elias, prestasi kesemua peserta pada pusingan separuh akhir itu amat mengejutkan kerana peserta pilihan Da’i Aiman kecundang kepada peserta-peserta lain.

“Prestasi peserta pada malam ini amat mengejutkan saya. Hal ini kerana, peserta pilihan kita (Da’i Aiman) kecundang disaat kami amat mengharapkannya memberikan persembahan yang cemerlang untuk mara ke Pentas Akhir Da’i kelak.

Walau bagaimanapun, Aiman harus redha dan terima keputusan kami kerana saya percaya perjalanan Aiman tidak akan terhenti di sini. Aiman mempunyai bakat dan kreativiti yang hebat sehingga mampu menggarap perhatian penonton setiap kali Aiman berdiri dan menyampaikan tazkirahnya di atas pentas Da’i itu.”

“Buat peserta yang telah mara ke Pentas Akhir Da’i, saya harap mereka tidak berasa selesa dengan kedudukan mereka kerana kehidupan seorang pendakwah bukanlah seperti di sini (Da’i) tetapi situasinya amat berbeza.

Walau bagaimanapun, saya ucapkan tahniah kepada mereka bertiga (finalis) atas berkat usaha dan doa kepada sang pencipta, mereka telah sampai ke menara gading Da’i Pendakwah Nusantara.
Cuma, pesanan saya untuk semua finalis untuk tonjolkan kebolehan masing-masing kerana mereka diberikan peluang untuk menyampaikan sebuah tazkirah 5 minit dengan tajuk pilihan masing-masing. Pilihlah tajuk anda dengan bijaksana. In Sya Allah.” ujarnya lagi.

Juara Da’i Pendakwah Nusantara musim kelima ini akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 serta trofi Da’i Pendakwah Nusantara. Pemenang saguhati akan mendapat wang tunai berjumlah RM5,000 serta trofi Da’i Pendakwah Nusantara. Manakala penyandang gelaran Da’i Pilihan Penonton akan diumumkan di Pentas Akhir Da’i Pendakwah Nusantara.

Siapakah Juara Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-5? Ayuh sama-sama kita saksikan program realiti keagamaan nombor satu negara ini pada setiap hari Ahad, 9.00 malam bermula 16 Julai 2017 dan ikuti juga Jurnal Da’i pada pukul 6.00 petang di TV3.

Selain itu, penonton juga boleh saksikan program ini melalui portal video nombor satu Malaysia, tonton di www.tonton.com.my. Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini, layari laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia. Gunakan hashtag #DaiTV3 untuk hangatkan lagi perbualan tentang program ini di laman sosial.

How do you feel?
  • Fascinated
  • Happy
  • Sad
  • Angry
  • Bored
  • Afraid