Advertisement
Advertisement
Sharifah Sakinah Jaga Pemakanan
September 28, 2017
Namron Malu Lihat Diri Sendiri
September 29, 2017

Ejen Ali Musim Kedua Tampil 20 Karakter Baru

By : Nani Ramlee

Selepas mencetuskan fenomena tersendiri pada musim pertama dengan jumlah rating penonton sebanyak 2 juta seminggu, siri animasi nombor satu popular di Malaysia, Ejen Ali kini tampil dengan musim terbaharu.

Ejen Ali musim kedua yang merupakan hasil usaha sama Primeworks Studios Sdn Bhd dan Wau Animation Sdn Bhd kini tampil dengan karya yang lebih hebat serta watak dan jalan cerita yang lebih mengujakan.

“Sejak musim pertama melabuhkan tirainya pada Januari 2017, tenaga kerja produksi yang dikenali sebagai WAUriors telah bertungkus lumus menghasilkan karya yang lebih hebat untuk peminat-peminat Ejen Ali. Bagi musim kedua ini, penonton dapat lihat lebih banyak konflik dan cabaran ketika Ejen Ali menjalankan misinya di samping ejen-ejen muda di bawah Akademi Latihan MATA.

Secara kasar, ada lebih 20 karakter baru untuk musim kedua ini merangkumi pelajar akademi, mentor, ketua teras dan musuh baru. Dengan kepelbagaian watak dan persekitaran baru, kami telah memperluaskan dunia Ejen Ali sekaligus menawarkan penceritaan serta pengalaman menonton yang lebih menarik,” ujar Usamah Zaid, Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation sambil berkongsi tentang cabaran menghasilkan Ejen Ali musim kedua.

“Cabaran paling besar ialah masa. Kami masih lagi dalam pertengahan proses produksi bagi musim kedua dan InsyaAllah akan siap semuanya hujung tahun ini. Selain cabaran masa, tenaga kerja juga merupakan antara cabaran yang kami perlu lalui.

Secara jujur, tidak mudah untuk mencari tenaga mahir dalam bidang animasi. Sekarang ini tenaga kerja di Wau ada seramai 70 orang. Kami akan cuba untuk naikkan jumlah pekerja untuk projek akan datang supaya proses produksi lebih laju serta penonton tidak menunggu lama untuk Ejen Ali. Kami di Wau sentiasa mahu memberikan kualiti yang tinggi dan terbaik kepada penonton,” tuturnya lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation, Usamah Zaid di majlis pelancaran Ejen Ali musim kedua di GSC One Utama. NSTP/ZUNNUR AL SHAFIQ

Usamah ditemui ketika majlis tayangan perdana serta pelancaran siri tersebut di 1 Utama Shopping Centre. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios (PWS), Datuk Ahmad Izham Omar dan Pengarah Tonton, Perlesenan dan Pembarangan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Airin Zainul.

Dalam pada itu, Datuk Ahmad Izham Omar turut berkata, PWS teruja dengan sambutan hangat serta kejayaan yang dikecapi untuk musim pertama siri 13 episod itu.

“Kami amat teruja dengan kejayaan musim pertama Ejen Ali, yang amat memberangsangkan le arah langkah kami untuk mengjangkaui industri televisyen Malaysia menjelang akhir tahun 2017. Kami berharap dengan kualiti tinggi dalam penceritaan dan kepelbagaian watak yang ditonjolkan dalam Ejen Ali musim kedua ini, ia dapat meraih sambutan hangat dari lebih ramai peminat Ejen Ali di Malaysia dan seluruh rantau ini,” katanya.

Pihak penerbitan Ejen Ali juga turut berkongsi selepas tamat Ejen Ali musim kedua, mereka dalam perancangan menghasilkan filem Ejen Ali yang dijangka menemui penonton di layar perak pada 2019. Saksikan Ejen Ali musim kedua pada setiap hari Jumaat, jam 5.30 petang di TV3. Siri ini juga boleh ditonton secara ulangan menerusi www.tonton.com.my.

How do you feel?
  • Fascinated
  • Happy
  • Sad
  • Angry
  • Bored
  • Afraid